Account: (login)

More Channels


Are you the publisher? Claim this channel

Search in 111,010,980 RSS articles:

Channel Description:

... PEMBINA NEGARA BANGSA

Latest Articles in this Channel:

  • 08/10/09--02:24: Seminar Sejarah PMR (chan 2554110)

  • Mulai esok, 11 Ogos 2009, Seminar Menjawab Sejarah PMR dijangka diadakan (berperingkat-peringkat) bagi murid-murid yang bakal menduduki peperiksaan PMR tidak lama lagi . Ceramah akan disampaikan oleh JU Negeri bagi mata pelajaran Sejarah, yang juga guru Sejarah di SMKTP, iaitu PUAN ZALINA TAMBI.

    Semua murid yang terlibat diminta berkumpul di Dewan Blok Baharu. Seminar tersebut akan bermula pada 8.30 hingga 10.00 pagi. Guru-guru Sejarah lain yang terlibat ialah Cik Fuziellah Abu Bakar, Puan Ruslina Ismail dan Puan Roshanilawatey Jusoh. /rbj


  • 08/11/09--03:54: Seminar Sejarah PMR 2009 (chan 2554110)




  • Pagi tadi bermulalah siri seminar menjawab Sejarah PMR. Terima kasih, Puan Zalina atas penyampaian yang berkesan. Harapan agar murid-murid 3K9 & 3K10 dapat memanfaatkan ilmu yang disampaikan dalam menghadapi peperiksaan PMR nanti...
    Esok siri kedua - Seminar Menjawab Sejarah PMR untuk kelas 3K11, 3K12 & 3K13. Jumpa lagi.... /rbj

  • 08/15/09--23:49: Menjelang Peperiksaan Percubaan PMR (chan 2554110)

  • Kesilapan Calon PMR Mempelajari Sejarah & Cara Mengatasinya


    Terdapat pelbagai masalah yang dihadapi oleh calon ketika belajar Sejarah.

    Antaranya ialah tidak mengulangkaji secara konsisten, kurang membuat latihan, gemar meramal soalan dan tidak mengetahui teknik menjawab soalan dengan betul. Cerita arnab dan kura-kura memberi banyak pengajaran berkaitan dengan penggunaan masa, ketahanan mental dan usaha yang konsisten.

    Dalam kisah itu, Sang Arnab yang mempunyai kekuatan berlari dengan pantas telah dikalahkan oleh Sang Kura-Kura yang berjalan lambat tetapi konsisten. Sebenarnya istilah ‘tiada mood’ atau ‘ada mood’ tidak harus wujud dalam mengulangkaji pelajaran.

    Pada peringkat sejarah PMR, kandungan sukatan pelajaran Tingkatan Satu dan Tingkatan Dua adalah menarik dan ringan. Sukatan pelajaran Tingkatan Tiga lebih ringan! Calon boleh merujuk guru Sejarah pada bila-bila masa jika menghadapi masalah pemahaman terhadap sesuatu tajuk. Calon perlu menghabiskan 3 jam sehari atau sekurang-kurangnya sejam bagi mana-mana tajuk Sejarah tersebut.

    Di samping melakukan ulangkaji secara konsisten, calon perlu membuat latihan untuk meningkatkan kecekapan. Kekerapan mengulangkaji adalah kunci kepada kefahaman kerana ia mengatasi proses lupa! Ingat! Lupa berlaku disebabkan oleh maklumat yang diterima tidak diulangi dan diulangkaji.

    Cara belajar Sejarah yang berkesan ialah melalui proses yang sistematik, iaitu maklumat yang dibaca dimasukkan dalam minda secara tersusun dan konsisten. Semak tajuk yang belum diulangkaji dan tajuk yang belum diulangkaji.

    Calon perlu menyedari bahawa latihan di kelas, di pusat tuisyen dan di rumah bertujuan memberi kefahaman tentang sesuatu topik. Namun begitu, ramai calon PMR membuat latihan secara sambaleweng dan tidak sepenuh hati. Ramai calon PMR tidak menggunakan masa luang yang ada.Lebih malang lagi ada calon tidak berusaha membuat persediaan (tidak mengulangkaji) sebelum menjawab soalan latihan yang diberi oleh guru.

    Ingat! Belajar Sejarah yang berkesan ialah melalui proses ulang dan kaji.
    Janganlah mengharapkan keputusan yang cemerlang, sekiranya kekerapan anda mengulangkaji boleh dihitung dengan jari. Saya ulangi, calon perlu kerap membaca dan mengulangkaji untuk mengingat fakta Sejarah. Saya mengesyorkan calon PMR mengulangkaji bab yang mudah dahulu dikuti bab yang lebih sukar secara konsisten.

    Ramai calon PMR mengulangkaji mengikut bab yang mereka sukai sahaja. Ini baik untuk mendorong anda bersemangat dan meminati pelajaran Sejarah. Namun begitu, topik dalam Sejarah mempunyai kesinambungan iaitu ditulis dari bab yang mudah kepada bab yang susah. Calon harus menguasai bab yang awal dahulu sebelum bab yang kemudian. Walau apa pun anda perlu menghadiri kelas pada setiap hari. Kegagalan anda mengikuti sesuatu tajuk akan mengganggu kefahaman anda terhadap tajuk tersebut.

    Terdapat pelbagai teknik pembelajaran Sejarah seperti menyenaraikan isi kandungan, menulis nota peta minda, teknik perbincangan, penggunaan teknik mneumonik untuk tajuk yang membosankan dan sebagainya. Kesemua teknik adalah berkesan dan baik jika bersesuaian dengan cara anda belajar.


    Kelemahan Calon PMR Menjawab Soalan :

    Salah satu kelemahan calon PMR ialah menjawab soalan aneka pilihan dan aneka pelengkap dengan teknik yang cepat, tepat dan betul. Calon perlu mempunyai pengetahuan, maklumat dan telah menguasai semua tajuk dalam buku teks Sejarah.


    Secara umum calon perlu menjawab soalan objektif menggunakan kaedah berikut.

    * Pastikan bahawa anda membaca semua soalan dengan teliti. Fahamkan betul-betul sebelum menjawab

    * Jawab semua soalan yang anda pasti atau yakin tentang jawapannya terlebih dahulu sebagai strategi memanfaatkan masa dengan sebaik-baiknya.

    * Tandakan jawapan anda dengan jelas di tempat yang disediakan sebaik sahaja setiap soalan dibaca

    * Tinggalkan dahulu soalan susah atau tidak pasti jawapannya.

    * Bagi soalan susah atau anda tidak pasti dengan jawapannya, pilih jawapan yang betul dengan memotong pilihan jawapan yang tidak munasabah atau meragukan melalui kaedah peyingkiran

    * Singkirkan pilihan jawapan yang tidak munasabah atau meragukan anda

    * Jika tinggal dua jawapan, pilih jawapan yang anda fikir lebih tepat dan munasabah

    Usaha Tangga Kejayaan.../ rbj

  • 08/26/09--19:14: Sejarah Bendera Persekutuan Tanah Melayu (chan 2554110)
  • Sejarah penerimaan Bendera Persekutuan Tanah Melayu ialah melalui perjanjian dengan Majlis Raja-Raja di mana sebuah jawatankuasa telah ditubuhkan dalam tahun 1949 untuk menimbang dan membuat perakuan berhubung dengan rekabentuk Bendera.

    Satu pertandingan di peringkat kebangsaan telah diadakan bagi memilih Bendera Persekutuan Tanah Melayu yang baru. Pertandingan ini diadakan oleh Majlis Perundangan Persekutuan dalam tahun 1949. Sebanyak 373 karyawan telah mengambil bahagian di mana tiga rekabentuk bendera telah terpilih ke peringkat akhir.

    a) Rekabentuk pertama ialah lambang keris bersilang di tengah-tengah dengan dikelilingi oleh 11 bintang pecah lima.

    b) Rekabentuk kedua hampir serupa dengan rekabentuk pertama tetapi 11 bintang pecah lima itu disusun dalam dua bulatan mengelilingi keris bersilang itu.

    c) Rekabentuk ketiga ialah 11 jalur biru dan putih dengan bulan dan bintang berwarna kuning di bahagian tepi kiri.

    Majlis Perundangan Persekutuan menjemput orang ramai memberikan pendapat kepada ketiga-tiga rekabentuk tersebut. Pendapat umum itu telah dikelolakan oleh akhbar The Malay Mail. Keputusan akhir yang disiarkan pada 29 November 1949 menunjukkan majoriti orang telah memilih rekabentuk ketiga. Rekabentuk tersebut adalah ciptaan seorang Arkitek Kerajaan di Johor iaitu En. Mohamad bin Hamzah.

    Rekabentuk tersebut telah dibuat beberapa pindaan dan telah diperkenankan Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada 22 dan 23 Februari 1950. Pada 19 April 1950, Majlis Perundangan Persekutuan telah meluluskan usul yang dibentangkan oleh Pemangku Ketua Setiausaha Negara seperti berikut:

    "That in the opinion of this Council the Flag of the Federation of Malaya should be as follows:- Eleven horizontal stripes alternately red and white in colour, the uppermost stripe being red, having a blue quarter with a cresent and eleven pointed star in yellow superimposed, the standard size of the flag to be six feet by three feet."

    Rekabentuk bendera tersebut telah mendapat kelulusan King George VI pada 19 Mei 1950. Pertama kali Bendera Persekutuan Tanah Melayu dikibarkan ialah dalam satu majlis menaikkan bendera tersebut yang dianjurkan oleh Pesuruhjaya Tinggi British pada 26 Mei 1950 di perkarangan Istana Sultan Selangor dengan dihadiri oleh DYMM Raja-Raja Melayu dan Pegawai-pegawai King George VI.

  • 08/27/09--20:38: Bendera Malaysia (chan 2554110)
  • Bendera Malaysia adalah berasal dari Bendera Persekutuan Tanah Melayu. Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu dan Tuan-Tuan Yang Terutama Gabenor-Gabenor dalam satu Persidangan Majlis Raja-Raja menjelang pembentukan Malaysia telah memperkenankan rekabentuk Bendera Malaysia yang mengikut rekabentuk Bendera Persekutuan Tanah Melayu dengan pengubahsuaian pada bilangan jalur-jalur dan bintang pecah 14 bagi menunjukkan 14 buah negeri baru bagi Persekutuan Malaysia.

    Percantuman Sabah, Sarawak dan Singapura dengan Persekutuan Tanah Melayu telah melahirkan sebuah negara baru - Malaysia. Bendera Malaysia telah dikibarkan dengan rasminya di seluruh negara untuk melambangkan lahirnya Malaysia pada 16 September 1963.

    Sungguhpun Singapura berpisah daripada Malaysia pada 9 Ogos 1965, namun jalur-jalur dan bintang pecah 14 terus dikekalkan hingga sekarang. Kini jalur-jalur dan bintang berpenjuru 14 melambangkan keanggotaan yang sama dalam Persekutuan 13 buah negeri dan Kerajaan Persekutuan (terdiri daripada 3 Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.) /rbj

  • 08/27/09--23:35: Jalur Gemilang (chan 2554110)
  • Jalur Gemilang dahulunya dikenali sebagai Bendera Malaysia, mengandungi 14 jalur merah dan putih (melintang) yang sama lebar bermula dengan jalur merah di sebelah atas dan berakhir dengan jalur putih di sebelah bawah, tanda keanggotaan yang sama dalam persekutuan 13 buah negeri dan 1 kerajaan.

    Bahagian yang berwarna biru tua di atas sebelah kiri membawa ke bawah hingga atas jalur merah yang kelima itu maknanya perpaduan rakyat Malaysia.

    Bahagian biru tua itu mengandungi anak bulan tanda Agama Islam - agama rasmi Malaysia.

    Bintang pecah 14 itu tanda perpaduan 13 buah negeri dan Kerajaan Persekutuan.

    Warna kuning pada anak bulan dan bintang itu ialah warna Diraja bagi Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja.

    Sejarah Nama Jalur Gemilang

    Selama 47 tahun digelar Bendera Malaysia, pada kemerdekaan ke-40 pada 1997, namanya ditukar kepada Jalur Gemilang. Nama diusulkan pegawai dari Jabatan Muzium Negara dan Antikuiti, Redzuan Tamin dalam satu peraduan membabitkan pihak tertentu ini berjaya menewaskan 28 cadangan antaranya, Malaysia Raya, N.U.S.A, Mega Sakti, Saga Merah dan sebagainya.

    Ilham untuk menamakan bendera Malaysia kepada Jalur Gemilang diusulkan Datuk Hashim Mat Idris. Cadangan berkenaan dikemukakan kepada mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir pada 11 Julai 1995. Pada 1 Julai 1996, Urus setia menguruskan nama mengemukakan 75 cadangan berserta ulasan dan huraian. Tiga nama disenarai pendekkan iaitu Setia Perkasa, Seri Setia Perkasa dan Seri Setia Negara. Tiga nama ini bagaimanapun ditolak Jemaah Menteri ketika mesyuarat pada 11 September 1996. 28 nama lagi dicadangkan dan pada 2 Jun 1997, tiga nama dicalon mengikut keutamaan iaitu Jalur Gemilang, Jalur Nusa Gemilang dan Jalur Sinar Gemilang.

    Nama bendera Malaysia, iaitu Jalur Gemilang telah diisytiharkan oleh Tun Mahathir bin Mohamad, Perdana Menteri pada malam 31 Ogos 1997 sempena Hari Kemerdekaan negara yang ke-40. Pengisytiharan Jalur Gemilang dilakukan pada jam 11.58 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

    JALUR - menggambarkan Bendera Malaysia yang mempunyai 14 jalur merah dan putih. Oleh itu, lambang jalur pada Bendera Malaysia menggambarkan satu haluan yang lurus, hala tuju yang sama dan arah yang sama yang dianuti oleh rakyat negara ini dari Perlis hingga ke Sabah dalam menuju kegemilangan bangsa dan negara.

    GEMILANG - bermaksud bercahaya, terang-benderang dan cemerlang.

    Oleh hal yang demikian Bendera Malaysia Jalur Gemilang memberi pengertian bahawa jalur atau bendera itu melambangkan kecemerlangan negara Malaysia dan rakyat Malaysia dalam mengharungi apa bidang kehidupan sekali pun sama ada di dalam atau di luar negara.

    Kesungguhan, kegigihan dan kesanggupan rakyat untuk menaikkan imej negara, sesungguhnya sentiasa mendapat petunjuk dan pedoman yang terang lagi jelas./ rbj

  • 08/30/09--03:53: Pemasyhuran Kemerdekaan 1957 : Tetamu Kehormat (chan 2554110)
  • Apabila Tanah Melayu meraikan Hari Kemerdekaannya yang pertama, hotel-hotel baru didirikan di serata Kuala Lumpur untuk menampung delegasi luar yang bakal datang setelah dijemput oleh Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu untuk menyaksikan hari bersejarah tersebut.

    Barisan pertama perwakilan asing ke Tanah Melayu ialah:

    • Raja dan Permaisuri Siam
    • Putera dan Puteri Mahkota Jepun
    • Johannes Gerhardus Strijdom, Perdana Menteri Afrika Selatan
    • Jawaharlal Nehru, Perdana Menteri India
    • Huseyn Shaheed Suhrawardy, Perdana Menteri Pakistan
    • Pham Van Dong, Perdana Menteri Vietnam
    • Solomon Bandaranaike, Perdana Menteri Ceylon (Sri Lanka)
    • U Nu, Perdana Menteri Burma
    • Sim Var, Perdana Menteri Kemboja
    • Sir Alexander Grantham, Gabenor Hong Kong
    • John Foster Dulles, Setiausaha Negara Amerika Syarikat (mewakili Presiden Amerika Syarikat)
    • Duta Australia, Kanada dan New Zealand
    • Lim Yew Hock, Ketua Menteri Singapura
    • Putera Henry, Duke of Gloucester (wakil Ratu Elizabeth II), Puteri Alice, Duchess of Gloucester dan Putera William of Gloucester
    • Sir Gerald Templer (bekas Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu)
    • Lady Gurney dan Lady Gent (isteri bekas Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu).

    Ketika mendarat di Lapangan Terbang Sungai Besi, tetamu kehormat telah disambut oleh Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu, Sir Donald Charles MacGillivray dan Lady MacGillivray, Yang di-Pertuan Agong Tanah Melayu yang pertama, Tuanku Abdul Rahman diiringi Raja Permaisuri Agong dan Perdana Menteri Tanah Melayu yang pertama, Tunku Abdul Rahman.


  • 08/30/09--04:51: Pemasyhuran Kemerdekaan : Malam Merdeka (chan 2554110)

  • Sebelum pemasyhuran kemerdekaan Tanah Melayu dibuat, pada 30 Ogos 1957 pukul 12.00 tengah malam di Padang Kelab Selangor, Kuala Lumpur, telah diadakan upacara menurunkan bendera Union Jack bagi menandakan berakhirnya penjajahan British di Tanah Melayu dan lahirnya sebuah negara baru yang berdaulat, setaraf dan setimpal dengan semua negara-negara yang berdaulat di dunia.

    Bendera Persekutuan Tanah Melayu telah dinaikkan oleh anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sambil disaksikan sendiri oleh Tunku Abdul Rahman. /rbj

  • 08/31/09--00:33: Upacara Pengisytiharan Kemerdekaan 1957 (chan 2554110)

  • Pada 31 Ogos 1957 bertempat di stadium yang baru dirasmikan iaitu Stadium Merdeka, Kuala Lumpur telah menyaksikan peristiwa bersejarah bagi Tanah Melayu iaitu secara rasminya penyerahan pemerintahan Persekutuan Tanah Melayu daripada pemerintahan British kepada warganegara Tanah Melayu.

    Hujan lebat yang turun sejak 3 pagi menyukarkan pergerakan dan sehingga 6.30 pagi, stadium masih belum dipenuhi oleh pengunjung. Ini menyebabkan upacara telah ditangguhkan selama sejam dan pengumuman majlis bermula kedengaran bukan pada pukul tujuh seperti yang dijangka tetapi pada pukul lapan. 2,000 orang tentera Persekutuan menumpang di sekolah-sekolah berhampiran stadium sebelum itu berarak dalam hujan dan tujuh batalion yang membuat perarakan ketika itu iaitu Rejimen Persekutuan, Skuadron Isyarat, Skuadron Jurutera, Tentera Laut Diraja Tanah Melayu, Tentera Laut Simpanan Diraja Tanah Melayu dan Askar Sivil Persekutuan.

    Pada pukul 8, para media telah diberi pengumuman untuk bersedia dan semua peralatan kamera dan media ketika itu dipasang dengan perlindungan plastik atau pelapik kalis air lain di sekitar padang yang lembap. Kebetulan, hujan reda yang memungkin segala persiapan sebelum upacara bermula dapat dijalankan dengan mudah. Pengunjung bertambah ramai untuk menyaksikan upacara bersejarah ini.

    Antara kumpulan pengunjung yang tiba di stadium adalah Kadet, Pengakap Laut (dengan pakaian putih, topi putih dan seluar pendek berwarna biru), Pandu Puteri (berpakaian biru muda), Pengakap (dengan kain skaf, berwarna merah dan emas, merah dan hitam, merah dan biru, merah dan putih), Pasukan Briged St. John's Ambulance dan Palang Merah British turut mengambil tempat di sisi stadium manakala kumpulan pancaragam dan pengawal kehormat berada di susur terowong masuk.

    Kemudian, tetamu-temamu kehormat mula tiba Lord Chancellor dari England berpakaian yang sama seperti ketika dia menjadi hakim Mahkamah Tinggi Persekutuan. Pemangku Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan merupakan Raja Melayu yang pertama berangkat tiba diikuti Tengku Mahkota Johor (dalam pakaian uniform tentera baginda) yang menggantikan Sultan Johor, Sultan Perak (berpakaian berwarna krim), Sultan Terengganu (berpakaian emas bersama merah gelap dan hijau), Sultan Kelantan (berpakaian emas pucat), Sultan Perlis (berpakaian biru dan perak) Sultan Kedah (berpakaian emas), Sultan Pahang (berwarna merah senduduk dan dan perak) serta yang akhir sekali, baginda Yang di-Pertuan Agong yang berpakaian perang serta memakai keris yang baru. Setiap daripada baginda diiringi bunyi nafiri dan berdiri di bawah payung kuning keemasan sambil Yang di-Pertuan Agong berjalan ke tempat duduk baginda. Pengunjung stadium masih lagi berdiri apabila Duke of Gloucester masuk sambil diiringi Sir Donald MacGillivray. Dengan ketibaan semua tetamu diraja, upacara Pengisytiharan dimulakan.

    Adikung Duke membawa watikah perlembagaan yang menyatakan pengunduran daripada perlindungan British terhadap negeri-negeri Melayu dan kedaulatan terhadap Pulau Pinang dan Melaka. Raja-raja Melayu mula melangkah ke pentas dan Duke mengambil tempat di depan pentas sambil menerima hormat diraja sambil diiringi oleh Sir Donald MacGillivray. Ketika itu merupakan kali terakhir satu-satu upacara negara menyanyikan lagi kebangsaan British di Persekutuan Tanah Melayu. Kemudian, baginda Duke membacakan perutusan daripada baginda Ratu Elizabeth II akan pernyataan baginda yang mengalukan kemasukan Persekutuan ke dalam Komanwel dan mendoakan kejayaan negara ini.

    Kemudian, Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman bangun dari tempat duduknya dan menerima watikah perlembagaan sebagai lambang penyerahan kuasa pemerintahan sepenuhnya kepada Persekutuan Tanah Melayu. Duke mengambil tempat duduk dan Tunku mulakan ucapannya dalam bahasa Inggeris. Setelah Tunku mengucapkan penghargaan kepada Great Britain akan pertolongan untuk mencapai kemerdekaan, beliau mula membaca teks "Pengisytiharan Kemerdekaan".

    Pengisytiharan itu disambut dengan laungan "MERDEKA" 7 kali sebagai Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu yang pertama di hadapan 20 ribu rakyat Persekutuan Tanah Melayu dan Raja-rajanya serta perwakilan dari 30 negara-negara Komanwel dan negara-negara asing lainnya. Bendera Persekutuan Tanah Melayu telah dinaikkan dengan iringan Lagu Kebangsaan Negaraku yang buat pertama kalinya diperdengarkan secara rasmi dalam sebuah negara baru. Diikuti pula selepas itu dengan seruan azan sebagai simbolik lahirnya sebuah negara yang baru dan tembakan meriam seratus satu das.

    Dengan bunyi nobat nafiri, Yang di-Pertuan Agong diiringi oleh Duke of Gloucester, berangkat pergi dari pentas diikiuti oleh pemerintah Melayu yang lain, Perdana Menteri dan Sir Donald MacGillivray. Kemudian, Doa Selamat dibacakan bagi memohon keberkatan dan keredhaan Allah terhadap sebuah negara yang baru dilahirkan.

    Dengan pengisytiharan itu, maka berakhirlah penjajahan Inggeris dan kuasa Baginda Ratu ke atas Persekutuan Tanah Melayu termasuk Pulau Pinang dan Melaka iaitu sejak lebih 170 tahun. Pada hari itu juga Pesuruhjaya Tinggi British terakhir di Persekutuan Tanah Melayu, Sir Donald MacGillivray dan isterinya telah meninggalkan negara ini dan pulang ke England./ rbj

  • 05/25/10--03:16: PBS Sejarah PMR (chan 2554110)



  • Nasiblah Blog Panitia Sejarah ini... tidak ada yang hendak update... ke mana KP Sejarah & S/Unya...? KP kenalah jenguk-jenguk sama ke blog ini... jangan sampai ia terus menjadi 'sejarah'...!

    Sebagai ahli panitia Sejarah, sudah lama saya tidak update blog ini setelah membinanya lebih setahun yang lalu (ketika KP bercuti panjang)... malu juga setelah ditegur tengah hari tadi.

    Dalam minggu ini murid-murid Tingkatan 3 sedang sibuk bertungkus-lumus menyiapkan Kerja Kursus Sejarah bagi memenuhi keperluan PBS (Pentaksiran Berasaskan Sekolah) di peringkat PMR. Pada tahun ini tajuk Kerja Kursus Sejarah ialah "PERAYAAN TRADISI KAUM DI MALAYSIA". Bagi segelintir murid yang agak liat tu, terpaksalah dikerah oleh guru Sejarah berkenaan agar murid-murid kesayangan dapat menyiapkan tugasan walaupun agak minimum. Bahan bukti penting bagi tujuan pemarkahan.

    Untuk menyiapkan Kerja Kursus tersebut, murid-murid perlu melengkapkan Elemen 1 (mengumpul fakta), Elemen 2 (merekodkan fakta) dan Elemen 3 (esei) mulai Mac hingga akhir Jun 2010. Markah penuh bagi setiap Elemen ialah 4 markah, menjadikan kesemuanya 12 markah.

    Elemen 1 : antara sumber yang dikumpulkan oleh murid-murid SMKTP dengan bantuan guru ialah : Buku Ilmiah , Akhbar , Majalah, bahan internet, VCD dan Sumber-sumber lain. Sekurang-kurangnya perlu ada 4 sumber untuk mendapat markah penuh (4 markah)

    Elemen 2 : murid hendaklah melengkapkan 9 senarai kandungan seperti berikut bagi mendapat markah penuh, 4 markah, iaitu...
    1) Tajuk
    2) Senarai Kandungan
    3) Penghargaan
    4) Objektif Kajian
    5) Kaedah Kajian
    6) Hasil Kajian (perlu mengandungi sekurang2nya 4 sub topik)
    7) Rumusan
    8) Lampiran
    9) Rujukan

    Elemen 3 : Murid-murid perlu menulis sebuah esei berdasarkan tajuk yang diberi dengan panjangnya lebih kurang 100 patah perkataan. Dalam esei ini perlu dimasukkan sekurang-kurangnya 4 nilai patriotisme sebagaimana yang telah disenaraikan.

    Sebelum menjelangnya Peperiksaan Pertengahan Tahun 2010 (bagi murid Ting.3) yang akan bermula pada hari Khamis ini, hampir sebahagian besar murid sudah menyiapkan Elemen 1 dan Elemen 2. Elemen 3 pula akan disiapkan oleh mereka selepas cuti nanti dengan bantuan guru-guru Sejarah, terutama sekali bagi kelas-kelas yang pencapaiannya sederhana dan lemah.

    Tajuk ini sebenarnya menarik dan memberi peluang kepada murid-murid untuk lebih memahami perayaan tradisi kaum di Malaysia.

    Umum mengetahui bahawa rakyat di negara ini yang terdiri daripada pelbagai kaum kaya dengan adat, kepercayaan dan kebudayaan yang berbagai-bagai, Keunikan yang dilahirkan inilah akhirnya membentuk satu kebudayaan yang menarik dan istimewa untuk diketengahkan dalam kalangan pelancong asing yang saban tahun membanjiri negara kita.

    Dari segi sambutan perayaan setiap kaum, baik Melayu, Cina, India dan kaum-kaum lain, mereka berpeluang meraikan bersama-sama dalam konteks masyarakat majmuk. Hal ini jelas menggambarkan perpaduan dan semangat muhibah berjaya dipupuk.

    Kemeriahan sambutan perayaan kian terasa apabila amalan berkunjung antara satu sama lain diamalkan, tidak kira di desa mahupun di kota. Selain itu, sambutan perayaan di peringkat kebangsaan melalui "Rumah Terbuka" yang diadakan setiap tahun menunjukkan keharmonian kaum di negara ini terpelihara.

    Semoga semua tugasan dapat disiapkan sebelum akhir Jun ini...- rbj


  • 05/26/10--08:32: ORANG-ORANG PERAK MENYERANG ANGKATAN LAUT BELANDA (chan 2554110)

  • HARI INI DALAM SEJARAH


    Tarikh Peristiwa: 27.05.1658
    ________________________________________Justify Full
    Pada hari ini 27.05.1658, satu pertempuran telah berlaku di antara orang-orang Perak dengan angkatan laut Belanda. Pertempuran itu berlaku ketika kapal-kapal laut Belanda yang diketuai oleh Joan Truitmans sedang menghalang Perak daripada menjalankan perdagangan dengan saudagar-saudagar asing. Belanda mengambil tindakan demikian kerana tidak berpuashati terhadap orang-orang Perak yang kerap melanggar syarat-syarat perjanjian persahabatan dan perdagangan yang dibuat di antara kedua pihak dalam tahun-tahun 1650, 1653 dan 1655.

    Orang Perak menganggap perjanjian tersebut tidak sah kerana perjanjian itu dibuat secara paksa dan juga kerana perbezaan agama. Perjanjian yang ditandatangani oleh Sultan Perak adalah kerana desakan Acheh dan mereka menganggap campurtangan Belanda telah menggugat kepentingan mereka yang mengamalkan perdagangan bercorak bebas. Syarat-syarat perjanjian perdagangan bijih timah misalnya hanya menguntungkan Belanda. Belanda telah mengenakan harga dagangan yang rendah dan Perak terpaksa membayar gantirugi. Ketidakpuasan hati menyebabkan Perak kerap kali menyerang loji-loji perniagaan dan kapal-kapal Belanda di Kuala Sungai Perak dalam tahun 1651-1657.

    Akibat dari itu, Belanda telah mengepung dan mengawasi perairan Perak untuk menghalang sebarang perdagangan tempatan. Ini menyebabkan orang-orang Perak menyerang dan membakar loji-loji perniagaan Belanda pada 23 April 1658 di Kuala Bernam serta berjaya melumpuhkan kegiatan Belanda di situ. Dengan serangan itu yang berlaku pada hari ini dalam tahun 1658, Perak telah menyerang angkatan laut Belanda yang sedang mengepung perairannya.


    “Sejarah Pembimbing Generasi” ... /rbj

  • 06/01/10--03:08: KEHARMONIAN MASYARAKAT MAJMUK BERMULA DI MELAKA (chan 2554110)
  • KETIKA keagungannya pada abad ke-15, Melaka ialah sebuah kota antarabangsa yang makmur dengan aktiviti perdagangan dan perniagaan. Negeri yang terkenal dengan kebijaksanaan Bendaharanya Tun Perak dan kehandalan Laksamana Hang Tuah itu, banyak meninggalkan asas kenegaraan dan kemasyarakatan di negara kita. Misalnya sistem beraja dan undang-undang bertulis negeri Melaka menjadi asas kepada sistem kenegaraan negara kita.

    Dalam konteks sejarah sosial, Melaka ialah negeri yang mula-mula mempunyai masyarakat berbilang kaum dan agama.

    Menurut beberapa orang pengkaji sejarah seperti O.W.Wolters dan Wang Gungwu, Melaka mula mengamalkan sikap liberal dan terbuka sejak pemerintahan Iskandar Syah (Parameswara) dan dua orang pengganti selepasnya. Mereka menggalakkan pedagang dan orang luar datang ke pelabuhan Melaka sehingga terbentuknya masyarakat majmuk di kota Melaka.

    Melaka ketika itu bukan sahaja didatangi oleh pelbagai etnik dari Nusantara (Kepulauan Melayu), malah pelbagai bangsa dari pelbagai tempat di dunia, seperti Parsi, Arab India, China, Burma dan Kemboja (Champa). Menurut Tom Pires, selepas kemangkatan Parameswara, penduduk Melaka berjumlah kira-kira 6,000 orang.

    Winstedt dalam bukunya History of Malaya menyebut bahawa penduduk Melaka meningkat kepada 40,000 orang dewasa ketika pemerintahan Sultan Alauddin dan menjadi 190,000 orang sebelum Portugis menyerang Melaka. Kaum pendatang di Melaka ketika itu sangat menghormati budaya dan adat rakyat tempatan (orang Melayu). Mereka bergaul mesra dengan masyarakat tempatan sehingga ada dalam kalangan orang asing itu diberi peluang dalam mobiliti sosial dengan terbabit secara langsung dalam institusi pentadbiran Melaka.

    Melaka juga sejak awal lagi merakamkan bahawa proses asimilasi budaya pernah berlaku di negeri itu sehingga mewujudkan beberapa komuniti masyarakat yang unik, iaitu komuniti Cina Peranakan yang dikenali sebagai Nyonya Baba dan India Peranakan yang dikenali sebagai komuniti Ceti. Oleh itu, apabila kita membicarakan mengenai perpaduan dan keharmonian hidup masyarakat, Melaka harus dijadikan rujukan dalam memahami keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.

    Catatan mengenai keharmonian hidup masyarakat majmuk ini terdapat dalam beberapa catatan Abdullah Munsyi dalam bukunya "Hikayat Abdullah" (Pustaka Antara, 1963).

    Abdullah Munsyi ada mencatatkan di dalam hikayatnya bahawa penduduk Melaka terdiri daripada pelbagai komposisi bangsa dan kaum. Abdullah menyebut bahawa Melaka sudahpun dihuni oleh penduduk pelbagai bangsa, iaitu Melayu, Cina, India dan Nasrani (Portugis). Dalam Bab 6 buku berkenaan, beliau menyebut bahawa pelbagai bangsa yang menetap di Melaka itu hidup dalam suasana aman dan damai. Abdullah menggambarkan bahawa keadaan keharmonian masyarakat berbilang kaum itu wujud kerana ada sifat setia dan taat kepada pemerintah ketika itu.

    Abdullah juga mencatatkan hubungan antara kaum di Melaka begitu kuat dan harmonis sehingga seorang budak yang nakal dari satu bangsa boleh ditegur oleh bangsa lain. Malah, boleh dipukul oleh ibu bapa bangsa lain. Ibu bapa budak yang dipukul atau ditegur itu akan berterima kasih kepada mereka kerana mengambil berat akan perlakuan atau perangai anaknya.

    Perkara itu ada dijelas dalam Bab 4 oleh Abdullah apabila beliau menulis :
    ".... dalam negeri Melaka, baik bangsa apa, seseorang menaruh malu akan seseorang, dan seseorang takut akan seseorang. Maka jika kiranya anak Melayu membuat pekerjaan jahat atau barang sebagainya yang tidak baik, dilihat orang Cina atau bangsa manapun, maka boleh diajarnya dan dipukulnya akan dia, maka itu dipuji oleh ibu bapa budak itu..."

    Demikianlah eratnya hubungan antara kaum dan indahnya suasana harmonis yang wujud di Melaka seperti yang dicatat Abdullah itu. Menurut penulis artikel ini, pada tahun-tahun 1960-an dan 1970-an, masyarakat tempat penulis dilahir dan dibesarkan (di Melaka) masih dapat melihat suasana demikian dengan bangsa lain boleh menegur anak jiran tanpa rasa takut atau bimbang dimarahi ibu bapa budak yang ditegur itu. Malah ada yang merotan sekali dua di kaki atau punggung budak yang nakal atau melakukan kejahatan di hadapannya.

    Hari ini, semuanya sudah berubah kerana masyarakat semakin bersifat individualistik. Hari ini, jangan dikatakan menjentik anak jiran, malah menegur sekali pun boleh mengundang pergaduhan dan perseteruan.

    Alangkah indahnya masyarakat kita sekiranya perpaduan yang sekarang sedang kita janakan semula melalui gagasan 1Malaysia boleh mencapai tahap seperti itu. Rasanya sukar untuk kita alami suasana seperti itu kembali. Namun, apa yang penting ialah perlunya kita memperkukuh perasaan hormat-menghormati, bertolak ansur, rendah hati dan berbudi bahasa antara satu sama lain tanpa mengira kaum. Amalan itu adalah nilai murni yang ingin diterapkan melalui gagasan 1Malaysia.

    (Diubahsuai daripada rencana yang ditulis oleh Mohd Ayob Abd Rashid, Berita Harian, 1 Jun 2010) .../rbj


  • 06/07/10--13:30: Buku Teks Sejarah Dalam P & P (chan 2554110)


  • Satu aspek yang dipertimbangkan dalam penggunaan buku teks yang berkesan dalam pembelajaran murid lemah ialah tahap kebolehbacaan. Murid lemah sukar memahami istilah yang sukar, abstrak dan di luar pengalaman mereka.

    Seseorang guru Sejarah harus bijak memilih bahan yang sesuai dalam buku teks untuk murid lemah dan seterusnya dapat digunakan dengan berkesan bagi meningkatkan kefahaman murid terhadap perkara yang dipelajari. Guru Sejarah perlu memilih isi yang penting, menggunakan bahasa dan ayat yang mudah difahami ketika menerangkan dan menguji tahap kefahaman murid melalui lembaran kerja yang disediakan. Buku teks dan lembaran kerja/ modul ini boleh digunakan di dalam dan di luar bilik darjah

    Guru Sejarah perlu dalam mengisi petak lembaran kerja / modul yang disediakan. Melalui lembaran kerja / modul yang disediakan mendidik murid cara menyusun maklumat dan berfikir secara sistematis, murid dapat mencari dan mengingat maklumat penting daripada buku teks dengan mudah. Buku teks Sejarah boleh digunakan sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran sama ada permulaan, pertengahan atau pada akhir pembelajaran.

    Teknik Penggunaan Buku Teks dalam P & P di Sekolah

    Bagi memastikan P & P yang berlangsung dalam bilik darjah berkesan, guru wajar menitikberatkan perkara berikut :
    * Peta konsep
    * Penggunaan bahan grafik
    * Maklumat tambahan

    * Pelbagai aktiviti pembelajaran yang kreatif dan inovatif
    * Kemahiran berfikir secara kritis & kreatif

    * Kecerdasan pelbagai

    * Unsur dan nilai patriotisme

    * Kemahiran teknologi komunikasi maklumat
    * Latihan-latihan

    Pada peringkat awal P & P, guru wajar memberi gambaran keseluruhan (Big Picture) mengenai bab yang akan diajar berpandukan peta konsep yang terdapat pada awal bab buku teks.

    Guru seterusnya melaksanakan P & P menggunakan pedagogi yang sesuai berasaskan buku teks. Bahan-bahan grafik seperti gambar, peta, carta, jadual dan gambar rajah perlu digunakan secara maksimum dalam P & P guru bagi menarik minat dan tumpuan murid. Gerak kerja yang bersesuaian dengan pedagogi yang digunakan boleh dilaksanakan bersama. Guru boleh membuat rumusan dengan pelbagai cara berpandukan buku teks.../rbj




  • 06/13/10--07:09: Guna Buku Teks Sejarah (chan 2554110)

  • KAEDAH PENGGUNAAN BUKU TEKS

    Kaedah penggunaan buku teks yang berkesan dalam pengajaran dan pembelajaran Sejarah dapat meningkatkan minat dan penglibatan murid lemah secara individu.
    Seseorang guru Sejarah bertanggungjawab memastikan murid lemah memahami dan menguasai pelajaran Sejarah pada peringkat keupayaan dan kebolehan yang mereka miliki.

    Kaitan Buku Teks Dengan Pembelajaran Murid Lemah

    Murid lemah ialah golongan yang mempunyai kurang keupayaan dalam aspek mental, fizikal dan emosi pada tahap tertentu berbanding murid normal yang berada pada tahap purata perkembangan kognitif, afektif dan psikomotor mereka. Hal ini menyebabkan mereka menghadapi kesukaran untuk mengikuti pelajaran dengan berkesan dan menghadapi kesukaran untuk memahami pelajaran yang disampaikan oleh guru. Oleh itu, buku teks mempunyai pelbagai aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang sesuai dengan tahap kecerdasan pelajar.

    Kelebihan Buku Teks Sejarah
    i. mempunyai peta konsep sebagai garis kasar isi pelajaran yang boleh
    digunakan oleh guru dalam perancangan pelajaran
    ii. meringkas dan merumuskan sejumlah maklumat penting yang berkaitan
    dengan sesuatu bidang.
    iii. membolehkan murid memperoleh bahan khusus dalam bentuk yang telah
    disatukan.
    iv. menyediakan sumber maklumat yang seragam untuk semua murid.
    v. memberi idea kepada guru tentang organisasi maklumat dan aktiviti yang
    dapat dilaksanakan dalam pengajaran dan pembelajaran.
    vi. menyertakan gambar, graf, peta dan bahan-bahan ilustrasi yang memudahkan
    pemahaman murid.
    vii. menyertakan lain-lain bahan pengajaran seperti ringkasan, latihan dan soalan
    terancang.
    viii. meringankan beban guru dalam menyediakan bahan pengajaran dan
    pembelajaran

    Pastikan murid-murid membawa & membaca buku teks Sejarah.../ rbj

  • 06/16/10--10:29: Objektif Pendidikan Sejarah (chan 2554110)



  • 1) Memahami perkembangan masyarakat dan negara dari segi politik, ekonomi dan sosial.

    2) Memahami dan menghargai ciri-ciri kemasyarakatan dan kebudayaan Malaysia serta mengamalkan dalam kehidupan seharian.

    3) Menghargai usaha dan sumbangan tokoh-tokoh yang memperjuangkan kedaulatan dan kemerdekaan, serta tokoh-tokoh yang menghasilkan pembangunan negara.

    4) Mempunyai kesedaran sejarah dalam pemahaman hakikat dan keadaan masyarakat dan negara kini.

    5) Menganalisis, merumus dan menilai fakta-fakta sejarah secara rasional.

    6) Mempertingkatkan daya pemikiran dan kematangan yang berasaskan ikhtibar daripada pengalaman sejarah.

    7) Mempunyai kesedaran, kepekaan dan semangat ingin melibatkan diri dalam usaha-usaha mempertahankan kedaulatan, pembangunan dan kemajuan negara.

    -rbj


  • 06/27/10--20:00: PBS Sejarah PMR (chan 2554110)

  • Kerja Kursus Sejarah PMR pada tahun ini berkenaan dengan 'PERAYAAN TRADISI KAUM DI MALAYSIA'. Sejak awal bulan Mac, guru-guru telah membimbing murid-murid Ting. 3 untuk menyediakan folio berkenaan bagi memenuhi syarat Pentaksiran Berasaskan Sekolah peringkat PMR bagi mata pelajaran Sejarah.

    Kini, proses menyiapkan Kerja Kursus Sejarah sudah sampai ke penghujungnya. Pada bila-bila masa sahaja pemantauan akan dilakukan oleh Ketua Pentaksir Kawasan.

    Guru-guru Sejarah kini sedang sibuk memeriksa folio Kerja Kursus Sejarah sambil 'memburu' murid-murid yang liat menyiapkan folio tersebut, terutama sekali murid-murid yang 'sekejab ada sekejab tidak ada' di sekolah.

    -rbj

  • 07/14/10--06:01: Hari Ini dalam Sejarah : Sabah... (chan 2554110)

  • Minggu ini mula masuk Bab 6 Sejarah Tingkatan 3... Sabah dan Sarawak ke Arah Pentadbiran Sendiri... sesuai sekali dengan peristiwa bersejarah yang berlaku di Sabah pada 14 Julai 1946...

    Borneo Utara diletakkan di bawah Jajahan British.

    Pada hari ini tanggal 14 Julai 1946, Borneo Utara telah diletakkan di bawah jajahan British. Ini adalah kerana BNBCC tidak mampu membina semula kemusnahan Borneo Utara selepas Perang Dunia Kedua. Kemusnahan teruk yang dialami oleh bandar Sandakan telah menyebabkan Jesselton telah dipilih sebagai ibu negeri selepas era Perang Dunia Kedua.

    Dari segi sejarah, Sabah diambil alih oleh Syarikat Berpiagam Borneo Utara British (British North Borneo Chartered Company) pada 1881 dan menjadi sebuah negeri naungan Empayar British pada 1888. Walau bagaimanapun hal ehwal dalam negeri masih diselaraskan oleh Syarikat. Pemerintahan Syarikat tamat pada 1946 dan Sabah menjadi tanah jajahan Borneo Utara sehingga penyertaanya dalam Persekutuan Malaysia beserta Sarawak, dan Singapura pada 16 September 1963.

    Ibu negeri Sabah ialah Kota Kinabalu, yang terletak di Residensi Pantai Barat Sabah. Semasa zaman penjajahan British, Kota Kinabalu dikenali sebagai Jesselton.


    .../rbj

  • 08/01/10--00:01: Ogos 1945 : Bulan yang Tidak Menentu di TM (chan 2554110)
  • Di Tanah Melayu dan Singapura, pemerintahan Jepun semakin hari semakin tidak popular. Rakyat jelata hidup dalam keadaan gelisah kerana tekanan politik dan keadaan ekonomi yang begitu merosot.

    Ledakan bom atom di Hiroshima dan Nagasaki pada awal Ogos 1945 mengejutkan seluruh dunia khususnya Maharaja Jepun, angkatan tentera serta rakyat jelatanya. Ledakan ini berlaku dalam keadaan penguasaan tentera Jepun ke atas negara-negara di Asia Tenggara kian merosot.

    Apabila bencana yang bersar ini menimpa rakyat jelatanya, Maharaja Jepun bersama menterinya bersetuju supaya Jepun mengangkat bendera putih untuk menyerah diri. Walau bagaimanapun, beberapa orang pegawai tertinggi angkatan tenteranya tidak pula bersikap demikian. Malah ada yang percaya bahawa lebih baik mereka mati daripada menyerah diri kerana kematian membuktikan taat dan cinta mereka kepada Maharaja dan tanah air mereka. Menyerah diri adalah suatu perbuatan yang memalukan.

    Perbezaan pendapat ini menjadikan kedudukan pemerintahan Jepun di Asia Tenggara dalam keadaan serba salah. Perisytiharan menyerah diri tidak terus berkuatkuasa sehingga awal bulan September.

    Dalam tempoh sebulan bulan Ogos ini keadaan adalah tidak menentu di Tanah Melayu. Berita perkembangan Perang Dunia Kedua dapat diikuti melalui All-India Radio hampir setiap hari (rujuk entri sebelum ni). Pada pagi 11 Ogos, pemberita menyampaikan berita "kemungkinan Jepun akan menyerah diri kepada Tentera Bersekutu dan Perang Dunia Kedua akan ditamatkan."

    Pada esok harinya, sekali lagi All-India Radio menyiarkan perkembangan terbaharu tentang perang dan melaporkan bahawa pucuk pimpinan tentera Jepun di Tanah Melayu dan Singapura belum bersedia menyerah diri....!

    Dalam keadaan yang tidak menentu inilah juga berlaku satu peristiwa yang menggemparkan rakyat Pahang. Pada pertengahan bulan Ogos DYMM Sultan Abu Bakar telah 'diculik' oleh pihak MPAJA dan berada hampir sebulan di kawasan pedalaman Hutan Simpanan Jengka - Chenor (kini Felda Jengka).

    Nota : Jika ada kesempatan akan diceritakan kisah penculikan ini dalam entri yang akan datang...

    ... bersambung selepas ini dengan coretan pengalaman rakyat Malaysia yang terselamat dalam peristiwa pengeboman Hiroshima & Nagasaki...

    .../rbj

  • 02/16/11--23:06: Pengesanan / Penyemakan Buku Sejarah (chan 2554110)
  • Mulai tahun 2011 penyemakan buku latihan/ nota/ modul mata pelajaran Sejarah oleh pihak pentadbir SMKTP diadakan pada setiap hari Selasa minggu mengikut bidang. Penyemakan buku secara berjadual ini dimulakan dengan Bidang Bahasa mulai 8 Februari lepas.

    Pada minggu ini, tibalah giliran Bidang Kemanusiaan dan Kemasyarakatan. Memandangkan pada hari Selasa (15 Februari) merupakan cuti umum sempena sambutan Maulidur Rasul jadi penyemakan buku dibuat pada hari ini, Rabu 16 Feb 2011.

    Tengah hari tadi mulai pukul 1.00 tengah hari GPK Pentadbiran, Encik Chan Seng Fook telah menunggu guru-guru dalam Bidang Kemanusiaan di Bilik Ketua Bidang untuk melaksanakan tugas menyemak dan menandatangani buku latihan/ nota dan modul murid.

    .../rbj

  • 03/02/11--23:17: Article 5 (chan 2554110)

  • Kerja Kursus Sejarah PMR pada tahun ini berkaitan institusi pentadbiran tempatan. Tugasan PBS Sejarah PMR pada tahun ini adalah seperti yang berikut :


    Tugasan 1 :
    Anda ditugaskan membuat kajian berkaitan institusi pentadbiran tempatan yang terdapatdi negara kita berdasarkan
    satu daripada tajuk berikut:
    (i) Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)
    (ii) Rancangan Pembangunan Tanah dan Wilayah
    (iii) Pentadbiran Komuniti Setempat

    TUGASAN 2
    Tulis satu esei tidak kurang daripada 100 patah perkataan yang mengandungi pengamalan unsur patriotisme berdasarkan soalan di bawah.

    Soalan :
    Bagaimanakah institusi pentadbiran tempatan dapat memperkukuh integrasi nasional di negara

    Soalan / tugasan tersebut akan dan telah mula diedar kepada murid-murid Ting. 3 mulai minggu ini. Mulai sekarang juga, guru-guru Sejarah Ting. 3 SMKTP akan membimbing murid-murid Ting. 3 untuk menyediakan folio berkenaan bagi memenuhi syarat Pentaksiran Berasaskan Sekolah peringkat PMR bagi mata pelajaran Sejarah.


    -rbj

  • 03/07/11--00:01: Penyata Pelajaran Razak Diluluskan (chan 2554110)

  • Pada hari ini tanggal 7 MAC 1957, Majlis Mesyuarat Perundangan Persekutuan dengan sebulat suara meluluskan Penyata Razak. Menteri Pelajaran ketika itu Y.B. Dato' Tun Abdul Razak Hussein menubuhkan Jawatankuasa Pelajaran dan mengesyorkan beberapa perubahan dalam sistem pendidikan dan laporan ini dikenali sebagai Penyata Razak (1956). Cadangan-cadangan dalam penyata tersebut telah dimaktubkan dalam Ordinan Pelajaran 1957 Tujuan Penyata Razak adalah untuk :
    a. Menjadikan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, bahasa perpaduan dan bahasa pengantar di sekolah

    b. Mengeratkan perpaduan antara kaum Melayu, Cina dan India sebagai satu rumpun bangsa di Tanah Melayu

    c. Mengembangkan sistem pendidikan agar jurang perbezaan antara kaum dapat dikurangkan

    d. Menyediakan kemudahan pendidikan yang mencukupi untuk melahirkan masyarakat yang berdisplin, terlatih, liberal dan progresif.

    e. Mewujudkan sistem pengurusan pendidikan yang lebih cekap dan berkesan

    f. Mewujudkan masyarakat yang bertoleransi, berdisplin, terlatih , liberal dan progresif

    g. Memenuhi keperluan negara yang merdeka dan memperkembangkan sistem pendidikan
    Rang Undang-undang ini diharap dapat menghapuskan semua sekatan yang menghalang perpaduan kaum di negara ini dan akan melahirkan satu bangsa yang baru dan bersatu. Ia juga akan membuka kesempatan yang lebih luas kepada anak-anak untuk mengasah dan melahirkan perpaduan antara kaum yang tulin di negara ini.

    Dalam membentangkan Rang Undang-undang Pelajaran ini, beberapa cadangan telah dikemukakan. Antara cadangan tersebut termasuklah :


    1. Membina 5 buah sekolah Teknik yang akan bertempat di Pengkalan Chepa, Kelantan; di Temerloh, Pahang; di Melaka; di Telok Air Tawar, Buttorworth; di Rembau, Negeri Sembilan.

    2. Membina 2 buah sekolah pertukangan di Selangor, sebuah di Teluk Datuk dan sebuah lagi di Tanjung Karang.

    3. Membina 2 buah Institut Rendah Teknik (Junior Technical Institute), satu di Kuala Lumpur dan satu di Pulau Pinang.

    4.
    Sistem melatih guru-guru juga akan disusun semula di bawah Rang Undang-undang ini bagi melahirkan guru-guru yang lebih berdedikasi.

    ...pendidikan kebangsaan wahana perpaduan...

    .../rbj



  • 03/10/11--03:48: MPK dan Sejarah Pembukaan Kuantan (chan 2554110)

  • Melalui catatan sejarah, Kuantan telah wujud semenjak awal tahun 1850-an lagi. Kewujudan Kuantan pada kurun ke 19 adalah bermula sebagai penempatan.

    Sistem berkerajaan tempatan mula dilaksanakan di Kuantan pada 1 Ogos 1913 dengan penubuhan Kuantan Sanitary Board yang bertanggungjawab terhadap kawalan kebersihan, kesihatan dan kawalan pembangunan. Pada tahun 1937, Kuantan Sanitary Board telah digantikan dengan Lembaga Bandaran Kuantan (Kuantan Town Board).

    Setelah hampir 16 tahun berada di bawah sistem ini, Lembaga Bandaran Kuantan telah dinaiktaraf kepada
    Majlis Bandaran Kuantan (Kuantan Town Council) dengan kawasan pentadbiran seluas 16 km persegi sahaja iaitu tertumpu kepada Mukim Kuala Kuantan.
    Pada 1 September 1979 sekali lagi, Majlis Bandaran Kuantan dinaiktaraf kepada Majlis Perbandaran Kuantan (Kuantan Municipal Council) berasaskan Akta Kerajaan Tempatan (Akta 171) yang kekal hingga ke hari ini.
    Keluasan kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Kuantan telah diperkembangkan kepada 324 km persegi yang meliputi empat mukim iaitu Kuala Kuantan, Ulu Kuantan, Beserah dan Sungai Karang. Kawasan ini merupakan 10% daripada keluasan keseluruhan bandar Kuantan. Daripada keluasan tersebut, 20% merupakan kawasan bercukai yang diberikan perkhidmatan perbandaran manakala bakinya merupakan kawasan pembangunan.

    Lokasi Kuantan terletak di Pantai Timur Semenanjung Malaysia di antara garis lintang 3o 49' di utara dan garis bujur 102o 25' di timur. Di bahagian timur ialah Laut Cina Selatan dengan panjang kawasan pantai 56 km (35 batu). Di sebelah barat ialah Daerah Maran dan Jerantut, di utara ialah Negeri Terengganu dan di selatan ialah Daerah Pekan.

    .../rbj

  • 03/13/11--03:27: PERLANTIKAN BAGI SISTEM AHLI DIUMUMKAN (chan 2554110)
  • Pada hari ini 13.03.1951, Pesuruhjaya Tinggi Britain, Sir Henry Gurney telah mengumumkan senarai nama mereka yang telah dilantik untuk menganggotai 'Sistem Ahli'.

    Sistem ini merupakan satu sistem pemerintahan secara kabinet dan memberi peluang kepada pemimpin-pemimpin tempatan memperolehi pengalaman dalam usaha membentuk sebuah kerajaan sendiri di Tanah Melayu.


    Di bawah sistem ini, ahli-ahli dalam Majlis Undangan Persekutuan telah dilantik mengetuai urusan pentadbiran beberapa buah Jabatan Kerajaan. Oleh kerana mereka adalah ahli-ahli yang dilantik, maka ahli-ahli ini hanya bertanggungjawab kepada Pesuruhjaya Tinggi.

    Perlantikan yang diumumkan oleh Sir Henry Gurney pada hari ini dalam tahun 1951, terdiri daripada 4 Ahli Rasmi, 7 Ahli Tidak Rasmi dan 3 ex-officio. Mereka ialah:-

    En. Onn b. Jaafar - Ahli bagi Hal Ehwal Dalam Negeri
    En. O.A.Spencer - Ahli bagi Hal Ehwal Ekonomi
    En. D.C.Watherston - Setiausaha Pertahanan
    En. R.P. Bingham - Setiausaha Hal Ehwal orang-orang China
    YM. T. Yaacob Ibni Sultan Abd. Hamid - Ahli bagi Pertanian dan Perhutanan
    Dr. Lee Tiong Keng - Ahli bagi Kesihatan
    Dato E.E.C Thurai-Singham - Ahli bagi Pelajaran
    Dato Mahmud b. Mat - Ahli bagi Tanah, Lombong dan Perhubungan
    En. J.D. Mead - Ahli bagi Kerjaya dan Perumahan
    En. J.O. Sanders - Ahli bagi Keretapi dan Pelabuhan

    Manakala ex-officio terdiri daripada Ketua Setiausaha, Peguam Negara dan Setiausaha Kewangan.

    Perlantikan yang diumumkan pada hari ini dalam tahun 1951, berkuatkuasa pada 9 April 1951. Sesungguhnya, perlantikan itu memberikan harapan baru kepada penduduk Tanah Melayu dalam usaha membebaskan tanah air dari belenggu penjajahan.

    Sumber : Hari Ini Dalam Sejarah, Arkib Negara


    .../rbj

  • 04/10/11--04:53: Taman Sejarah SMKTP.... (chan 2554110)






  • Pada 9 April 2011 telah diadakan gotong-royong di SMKTP.

    Tujuannya adalah untuk menceriakan bilik darjah di samping membaik pulih taman angkat persatuan & kelab serta badan beruniform di SMK Tanah Putih. Aktiviti ini berlangsung dengan jayanya.

    Walau bagaimanapun, dalam masa 2 jam, ahli persatuan Sejarah hanya sempat mengecat semula dan membuang rumput rampai di Taman Sejarah. Aktiviti ini akan diteruskan semasa perjumpaan mingguan....

    Selepas rehat, murid-murid kembali ke kelas untuk menduduki ujian bagi kertas Sivik dan Kewarganegaraan.
    Ahli-ahli Persatuan Sejarah telah bergotong-royong menceriakan Taman Sejarah yang terletak di antara Dewan Besar dan Bangunan Blok Baru.

    .../rbj

  • 04/15/11--15:00: Guru Sejarah yang Berkesan (chan 2554110)

  • Seorang guru sejarah yang berkesan dan cekap dalam menjalankan profesion pengajaran seharusnya :


    1) Berpengetahuan luas dan berkemahiran tinggi mengenai topik atau kandungan pelajaran yang disampaikan.

    2) Berkeyakinan tinggi, berminat dan bersungguh-sungguh terhadap profesion pengajarannya.

    3) Mudah mesra dengan murid dan mempunyai kebolehan berkomunikasi yang berkesan.

    4) Cergas, bersemangat, periang, optimistik, tidak mudah kecewa dan dapat menerima kesilapan sendiri.

    5) Sabar dan sentiasa membantu serta memberikan dorongan ke arah kejayaan murid.

    6) Bersikap tegas, berdisiplin dan menjaga sahsiah diri.

    Profesionalisne guru sejarah khususnya dapat dipertingkatkan apabila seseorang guru sejarah menekankan nilai keadilan, kejujuran, kehalusan budi, nilai kesetiaan pada janji dan kontrak sosial serta menjaga adab kesopanan dalam interaksi sesama manusia (murid dan masyarakat)

    Etika kerja yang berasaskan kesedaran Tuhan sentiasa mengetahui segala tingkah laku dan amal baik manusia perlu diamalkan dan dihayati bagi menjadikan seseorang guru (sejarah) lebih berdedikasi dan amanah dalam menjalankan tugas dan amalan profesionalismenya. - rbj

    Sumber : Hazri Jamil, 2003, Teknik Mengajar Sejarah, PTS.